Rabu, 10 Mac 2010

Mari ber-Bisiks ini Sabtu


Apakah itu Bisiks?

Bisiks adalah akronim kepada 'Bicara Sol-dadu dan Sindiket Sol-jah dan Kawan-Kawang yang Kita Suka', iaitu program forum atau bual bicara bagi membincangkan sesuatu topik secara santai.

Forum ini terbuka kepada semua warga dunia yang cintakan ilmu. Sebaliknya, mereka yang berniat mencetuskan keganasan seperti membawa kepala lembu atau membakar poster sangat tidak dialu-alukan.

Topik-topik yang dipilih adalah berdasarkan proses saringan ketat dengan mengambil kira faktor kesediaan dan kredibiliti ahli panel selain faktor keselamatan di lokasi forum. Justeru unit pemusnah bom Sol-dadu, diketuai Leftenan Jeneral Zhafir, sudah menempah alat pengesan bom buatan Republik Czech di pasaran gelap bagi menjamin keselamatan Bisiks.

"Hadirin tidak perlu khuatir datang ke Kedai Buku DBP. Saya akan letak jawatan jika keganasan berlaku," kata Zhafir, yakin.

Sementara itu, Presiden Sol-dadu, Danielle Corleone membayangkan akan menjemput Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagi mencari perdamaian di Timur Tengah jika Bisiks diiktiraf PBB nanti.


Buku Tanpa ISBN: Cacat?

Sama seperti Bisiks, ISBN juga adalah akronim kepada International Standard Book Number, iaitu kod 10 atau 13 angka yang diperuntukkan kepada satu judul atau edisi buku yang diterbitkan oleh penerbit tertentu.

ISBN diperoleh dari Agensi ISBN Antarabangsa yang berpusat di London, tetapi, Perpustakaan Negara Malaysia telah dilantik sebagai Pusat Kebangsaan ISBN di Malaysia mulai Ogos 1982. ISBN yang diperoleh hendaklah dicetak di belakang muka surat judul dan belakang kulit buku.

Kod ISBN menyimpan maklumat mengenai:
-Industri Buku (kod industri buku yang digunakan di peringkat antarabangsa)
-Identiti Kumpulan (identiti negara, kawasan geografi atau kumpulan penerbit)
-Identiti Penerbit (identiti penerbit di sesebuah negara atau kumpulan)
- Identiti Judul (identiti judul atau edisi buku yang diterbitkan oleh penerbit)
- Angka Kawalan

Persoalannya di sini,
Kalau sesebuah buku itu tiada ISBN, apakah ia cacat?
Kalau buku itu cacat, apakah manusia yang membacanya juga cacat?
Kalau manusia yang membaca buku tanpa ISBN itu cacat, apakah penulis buku Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah itu cacat kerana tidak mendaftar ISBN?
Apakah buku tanpa ISBN menjejaskan agenda 1Malaysia?
Serius, sampai sekarang hamba tidak mengetahui jawapannya. Sebab itu tuan hamba semua kena datang Bisiks. Apa ingat hamba main-main?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan