Rabu, 7 April 2010

BISIKS! Dibatalkan.

Ini ada satu pengumuman penting! Perhatian kepada semua yang sudah pun bersedia, bercadang dan berkeinginan untuk turut serta dalam BISIKS yang membawakan tajuk hangat 'Penswastaan Membunuh DBP?' Dukacita pihak kami memaklumkan program ini terpaksa dibatalkan atas beberapa sebab teknikal dan mempunyai kaitan rapat dengan ancaman keselamatan kepada negara serta mungkin melibatkan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika kami berdegil meneruskannya juga. Pihak sol-dadu dan Sindiket Sol-Jah dengan ini memohon maaf dan akan mengumumkan tarikh dan tempat baru untuk acara ini kelak.Sebarang kesulitan akibat pembatalan BISIKS 10 April 2010 (Sabtu) ini adalah amat dikesali.Sekian.

Muhammad Daniyal Abd Kadir
(Danielle Corleone)
sol-dadu.

Khamis, 1 April 2010

Menjelang BISIKS 10 April 2010 (Mari berkenalan)

Muhammad Lutfi IshakSeorang penulis yang pernah menyertai Minggu Penulis Remaja 2000, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, cenderung kepada penulisan cerpen dan puisi, karya-karya beliau banyak tersiar di Dewan Sastera, Dewan Budaya, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Al-Islam, Jelita dan juga beberapa penerbitan lain. Selain itu, Lutfi turut pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan 2002 (Cerpen) dan menerima hadiah saguhati Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber 2003.



Dato’ Baha ZainNama sebenar beliau ialah Baharuddin Zainal. Beliau merupakan tokoh Bahasa Melayu dan sastera yang cukup disegani. Beliau pernah menjawat pelbagai jawatan di DBP termasuk Timbalan Ketua Pengarah DBP bermula dari tahun 1963 – 1984. Kini beliau menjawat jawatan sebagai Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Dato’ Baha turut aktif mewakili Malaysia dalam pelbagai persidangan antarabangsa berkaitan bahasa dan sastera. Beliau turut menerima Anugerah SEA Write oleh Kerajaan Thailand pada 1980. Buku-buku puisi beliau begitu mendapat tempat dihati penggemar sastera dan yang terbaru buku beliau bertajuk ”Menangguhkan Kebenaran dan Puisi-puisi Lain” telah diterjemahkan ke dalam bahasa Sepanyol.



Ainon MohdBeliau merupakan penggiat dan aktivis Bahasa Melayu yang dihormati dan lantang memperjuangkan isu-isu berkaitan kepentingan Bahasa Melayu. Beliau adalah pengasas syarikat penerbitan prolifik, PTS dan sebelum itu pernah berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dari 1973 hingga 1988. Sehingga kini beliau telah menghasilkan lebih daripada 30 buah buku di dalam bidang terjemahan, komunikasi, pemikiran lateral dan kreativiti.